Monday 22 April 2013

KARANGAN : FAEDAH MEMBACA


Faedah-faedah Amalan Membaca
            

             Membaca adalah salah satu amalan yang amat berfaedah. Mereka yang mempunyai tabiat ini dapat memperoleh banyak kelebihan dan manfaat.

           Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu, pemikiran kita senantiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.  

           Amalan suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Misalnya kita boleh membaca buku-buku cerita, novel dan makalah. Perbendaharaan kata yang meluas baik dalam bahasa Malaysia ataupun bahasa Inggeris akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.

           Di samping itu, amalan suka membaca boleh menambah pengetahuan kita. Contohnya, jika kita suka membaca buku-buku tentang sains dan sejarah yang boleh kita dapati di perpustakaan. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan juga sejarah boleh ditingkatkan dan sekaligus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.

           Seterusnya, amalan suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Membaca buku-buku pelajaran, majalah dan buku cerita amat bermanfaat kepada kita daripada membuang masa dengan bermain atau menonton televisyen sahaja. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia.

           Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai, "Membaca Jambatan Ilmu".

          

KARANGAN : CATATAN PERKELAHAN


Kamu dan keluarga kamu telah pergi berkelah di satu tempat perkelahan. Tuliskan sebuah catatan tentang perkelahan tersebut.

Ahad , 25 Mac 2013.

7.00 pagi
Pagi-pagi lagi suasana di rumahku sudah riuh. Ini disebabkan adik-beradikku sibuk membuat persiapan untuk pergi berkelah di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan seperti yang dijanjikan oleh ayah. Ayah dan ibu sibuk di dapur menyiapkan bekalan makanan yang hendak dibawa.

8.15 pagi.
Kami sekeluarga bertolak dari rumah dengan menaiki kereta Toyota Avanza. Perjalanan ke Port Dickson mengambil masa selama satu jam setengah . Ketika kami sampai, orang ramai sudah membanjiri pantai Port Dickson.

9.45 pagi.
Ayah mencari tempat yang sesuai untuk kami berteduh di bawah sebatang pokok yang rendang. Aku, abang dan adikku pula membantu ibu mengangkat  barang-barang lalu meletakkannya di bawah pohon itu. Ibu pula mula menyusun atur barang dan membuka bekalan yang dibawa.

10.00 pagi.
Selepas menukar pakaian, kami adik-beradik bermandi-manda di kawasan gigi air
sahaja. Sementara itu ayah sentiasa memerhatikan kami dari tepi pantai sebagai langkah berjaga-jaga. Selepas puas bermandi-manda, kami naik ke pantai dan membina istana pasir bersama-sama.

12.15 tengah hari.
Setelah lebih dua jam kami bermandi-manda dan membina istana pasir, kami dipanggil oleh ibu untuk menjamu selera dengan bekalan yang dibawa. Kami makan dengan amat berselera sekali, maklumlah masing-masing sudah kelaparan dan makanan yang ibu sediakan pula enak-enak belaka. Sambil itu, kami menikmati suasana nyaman pantai Port Dickson dan melihat gelagat orang ramai yang ada di situ.

3.00 petang.
Setelah berkemas-kemas, kami pun bertolak pulang. Kami berasa gembira dan puas dapat berkelah di situ. Semasa dalam perjalanan pulang, ayah berjanji akan membawa kami berkelah di pantai Port Dickson lagi pada cuti yang akan datang atau jika ada
kelapangan pada masa lain.

Friday 19 April 2013

BERKUNJUNG KE PAMERAN KRAFTANGAN



Pada hari Ahad yang lepas, Dania dan ibunya telah berkunjung ke pameran kraf tangan di Arena Square, Kuala Kangsar. Dania dapat melihat pelbagai jenis kraf tangan yang cantik di situ. Dania dan ibunya berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain.
            Dania dan ibunya mengunjungi sebuah gerai yang mempamerkan barangan kraf tangan yang dibuat daripada mengkuang. Dania begitu kagum melihat sebuah bakul mengkuang  yang begitu halus buatannya. Ibunya membuat keputusan untuk membeli  botol  tersebut memandangkan harganya murah dan hasil kerjanya menarik.
            Selepas itu, mereka pergi ke gerai yang menjual barangan daripada buluh. Di situ, mereka melihat pelbagai barangan hasil daripada buluh yang unik. Antara barangan yang paling menarik perhatian ialah sumpit buluh. Selain itu, bakul, tikar dan beg pelbagai saiz hasil kerja tangan orang asli turut dipamerkan untuk jualan. Semua hasil kerja tangan tersebut amat  kemas buatannya.
            Seterusnya, Dania dan ibunya  beralih ke gerai yang mempamerkan barangan daripada tempurung. Sudip, sudu dan garfu hiasan serta bekas bunga adalah antara barangan yang dipamerkan. Walaubagaimanapun, Dania amat tertarik dengan rantai kunci kerana bentuknya yang kreatif. Atas permintaan Dania, ibunya telah membeli rantai kunci yang berlainan bentuk untuk Dania.
            Perbadanan Kemajuan Kraf tangan Malaysia Cawangan Perak (PKKM Caw. Perak) turut membuka gerai pameran di sini. Antara barangan yang dipamerkan ialah labu sayong, labu hiasan dan tekat benang emas. Ibu Dania telah membeli sepasang sarung bantal yang bersulam tekat emas. Keseluruhannya, barangan keraf yang dipamerkan amat menarik.
            Dania dan ibunya berjalan pulang setelah melawat keseluruhan gerai pameran. Dania menolong ibunya menjinjing beg plastic berisi barangan yang telah dibeli. Mereka sampai di rumah lewat petang.
            Walaupun agak penat tetapi Dania berasa sungguh gembira kerana itulah kali pertama dia mengunjungi pameran kraf tangan. Dia juga berasa gembira kerana ibunya telah membelikannya rantai kunci yang sungguh cantik. Dania berharap pameran seperti ini akan diadakan lagi supaya generasi mida sepertinya akan dapat mengetahui tentang warisan seni yang,’ Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’.


Tuesday 9 April 2013


PANDUAN MENGENAL PASTI NILAI DAN PENGAJARAN

NILAI / PENGAJARAN
CONTOH PERLAKUAN/FRASA/AYAT
1
Bertanggungjawab
Menjalankan tugasan atau membuat kerja
2
Prihatin
Memberi bantuan atau peka terhadap apa yang berlaku
3
Toleransi
Sentiasa bekerjasama, saling memahami dan menghormati
4
Baik hati
Sedia membantu, bersangka baik
5
Pemurah/murah hati
Suka menderma, memberi bantuan
6
Berhemah tinggi
Mempunyai tingkah laku terpuji: peramah, sopan
7
Penyayang/kasih sayang
Memberi hadiah, memelihara haiwan, menasihati
8
Rajin
Menyiapkan tugasan sekolah, mengulang kaji
9
Tekun
Menumpukan perhatian ketika membuat sesuatu
10
Gigih
Tidak mudah putus asa
11
Keazaman/tekad/cita-cita
Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat
12
Jujur/amanah/tulus
Memulangkan semula, mengakui kesalahan
13
Ikhlas
Tidak mengharapkan apa-apa, tidak membangga diri
14
Bertolak ansur
Tidak berkira membuat sesuatu
15
Sepakat
Bekerjasama membuat keputusan dan aktiviti
16
Adil/saksama
Meletakkan sesuatu yang sama rata dan diterima ramai
17
Bijaksana/bestari
Kemahiran menggunakan akal, membuat keputusan
18
Rasional/matang
Bertindak setelah berfikir dan mengikut kesesuaian berkaitan pemikiran
19
Berani
Bercakap benar, bertindak untuk kebenaran dan kebaikan
20
Berdikari
Belajar menguruskan diri, tidak bergantung harap kepada orang lain
21
Patriotik
Cinta akan Negara dan tokoh negarawan, kibarkan Jalur  Gemilang
22
Jimat cermat/berhemah
Menyimpan duit, bawa bekal, guna sumber tenaga apabila perlu
23
Kebersihan
Aktiviti  kebersihan fizikal : diri, rumah sekolah dan alam sekitar
24
Kesihatan
Pemakanan berkhasiat, jumpa doctor, cukup rehat, aktiviti rekreasi
25
Cinta akan alam semula jadi
Elakkan pencemaran, penggondolan hutan
26
Bekerjasama
Saaling membantu/menolong keluarga, rakan dan masyarakat
27
Taat/patuh/akur
Ikut arahan/nasihat ibu bapa, guru, peraturan, disiplin dan undang-undang
28
Berdisiplin
Mematuhi peraturan/ mengawal tingkah laku diri yang positif
29
Sabar/tabah
Sedar, reda dan menerima musibah yang berlaku
30
Cekal
Menerima kenyataan, tetap meneruskan cita-cita atau tidak putus asa
31
Menghargai masa/menepati masa
Bangun awal, gunakan masa lapang dengan berfaedah
32
Daya usaha
Berusaha dengan bersungguh-sungguh secara sistematik dan berterusan – jadual
33
Dedikasi
Lakukan aktiviti dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh, sanggup berkorban
34
Jati diri/keterampilan
Mampu membentuk diri kea rah yang lebih baik, menjadi idola
35
Sederhana
Bersikap tidak keterlaluan dan tidak terlalu menonjol diri
36
Kesyukuran/bersyukur
Menghargai apa yang dimiliki dan diterima dan diperoleh dengan ikhlas
37
Penghargaan/menghargai
Ucap terima kasih atas jasa dan pertolongan, perkhidmatan, tahniah
38
Perpaduan
Hidup berbilang bangsa dan agama dalam satu kawasan dengan harmoni
39
Persaudaraan
Hubungan mesra kerana ikatan persaudaraan seagama, manusia
40
Peramah/ramah mesra
Sentiasa bertegur  sapa, bergaul mesra tidak mengasingkan diri
41
Simpati
Merasai kesedihan orang lain/ menenangkan mangsa/ucapan takziah
42
Kemasyarakatan/
kejiranan
Hidup harmoni dalam komuniti, berbaik sangka, tolak ansur dan lain-lain